Punca Banjir di Malaysia

Punca Banjir di Malaysia

Saban hari, berita dan laporan tentang bencana alam seperti banjir telah menghiasi dada akhbar. Kejadian banjir seperti di Kuala Lumpur dan Selangor pada Disember 2021, dan baru-baru ini di Baling, Kedah pada Ogos 2022 semakin merunsingkan rakyat Malaysia, apatah lagi masalah ini masih berlarutan. Sama ada di kawasan bandar atau perkampungan, masalah banjir akan selalu berada dalam benak fikiran rakyat setiap kali berlakunya hujan lebat. Banyak punca banjir yang telah dibincangkan sesama rakyat, dan dalam pos ini kami akan menghuraikan tentang punca kejadian banjir di Malaysia.

1. Fenomena Cuaca dan Iklim

Banjir kilat berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah akibat hujan yang berterusan. Punca ini merupakan penyebab yang berasal dari alam itu sendiri. Iklim dunia yang tidak menentu iaitu kadang-kadang hujan dan kadang-kadang panas boleh menyebabkan banjir kilat. Keadaan ini semakin buruk dengan fenomena El-nino yang menyebabkan hujan lebat. Hujan yang berterusan tanpa berhenti-henti selama beberapa jam akan menyebabkan banjir berlaku. Air hujan akan dialirkan ke sungai tetapi di kawasan-kawasan yang rendah, air yang memenuhi sungai akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan tanah rendah dipenuhi air.

2. Kelemahan Sistem Perparitan

Masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan bandar kebiasaannya berpunca akibat kelemahan sistem perparitan yang sempurna. Parit yang sedia ada dan longkang yang dibina di kawasan bandar terlalu kecil dan cetek serta sering tersumbat. Apabila berlaku hujan lebat, sistem perparitan tersebut tidak dapat menampung sejumlah air yang banyak, maka air melimpah keluar dari parit menyebabkan banjir berlaku. Pengaliran air tidak dapat disalurkan ke sungai atau laut, dan hasilnya adalah air melimpah ke atas jalan dan kawasan perumahan.

3. Proses Pembandaran

Proses pembandaran merupakan salah satu punca banjir berlaku. Kawasan-kawasan tanah rendah telah ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit. Pembukaan tanah berleluasa dan penebangan pokok yang tidak terkawal telah menyebabkan resapan air ke tanah berkurangan. Aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan punca penyebab berlakunya banjir kerana apabila hujan turun, air akan mengalir dari kawasan bukit ke kawasan yang rendah dan kemudian bertakung. Hal ini telah menyebabkan kawasan tadahan air dimusnahkan dan membawa kepada masalah banjir kilat.

4. Penghakisan Sungai

Hakisan sungai yang kerap berlaku juga boleh mendatangkan banjir kilat. Faktor semula jadi berlaku apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras dan menghakis tebing-tebing sungai. Akhirnya tanah tebing akan runtuh dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya sungai akan menjadi cetek. Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai tersebut tidak dapat mengalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir akan berlaku.

Bagaimana Mengatasi Punca Banjir?

Persoalannya sekarang, bagaimana fenomena banjir ini boleh ditangani? Apakah kaedah yang perlu digunakan untuk mengelakkan bencana banjir yang melanda ribuan rakyat Malaysia dan memusnahkan jutaan ringgit nilai harta. Ikuti kami untuk penerangan lanjut tentang inovasi Nexus EC Sdn Bhd untuk mengelakkan masalah banjir ini daripada berterusan.

Contact us directly