Banjir Kilat di Malaysia, Fenomena Geologi Berantai

Banjir Kilat di Malaysia, Fenomena Geologi Berantai

Fenomena Banjir di Malaysia

Sejak tahun 2020, Malaysia telah dilanda oleh 2 krisis yang telah meragut banyak nyawa dan memusnahkan harta benda; pandemik COVID-19 dan juga isu alam sekitar. Apa yang lagi merunsingkan adalah, krisis kesihatan yang sedia ada belum berakhir, namun krisis banjir sambung untuk menguji rakyat Malaysia. Ini dapat dilihat daripada fenomena banjir pada Disember 2021 yang disebut sebagai fenomena luar biasa. Krisis ini disebut sebagai antara krisis banjir paling teruk pernah melanda Malaysia, dan ia telah melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Sabah, dan Sarawak. Apa yang memburukkan lagi keadaan, banjir ini telah menenggelamkan beberapa kawasan di Lembah Klang, kawasan yang dilihat jarang banjir.

Akhbar tempatan Kosmo melaporkan bahawa hujan lebat yang berlarutan selama dua hari pada Disember 2021 itu antara punca utama banjir berlaku. Namun begitu, sistem perparitan dan pengairan yang tidak berupaya untuk menampung jumlah hujan yang berterusan tidak membantu situasi tersebut. Natijah perkara tersebut adalah berlakunya banjir yang telah meragut nyawa dan merosakkan harta benda persendirian dan awam. Hal ini menyebabkan rakyat dan kerajaan Malaysia menelan kerugian jutaan ringgit, tak termasuk nyawa rakyat yang tak ternilai oleh sebab krisis alam sekitar yang melanda negara ini. Laporan daripada Metro menyatakan bahawa pada Jaunari 2022, seramai 43,392 mangsa banjir telah dicatatkan daripada 13,153 keluarga. Semua mangsa tersebut telah ditempatkan di 407 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri-negeri yang terpalit dengan fenomena ini. Selain itu, akhbar Bernama melaporkan bahawa 54 kes kematian telah direkodkan di seluruh negara hasil kejadian ini.

Sementelahan itu, terdapat fenomena air pasang yang berlaku di persisiran pantai Selangor yang memburukkan lagi keadaan banjir besar ini. Apatah lagi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) telah melaporkan ketika itu tentang jangkaan air pasang setinggi 4 meter bakal melanda kawasan di sekitar Pelabuhan Klang. Hasil daripada kejadian hujan berterusan ini, kejadian tanah runtuh telah melanda di beberapa kawasan dalam Malaysia yang hanya memburukkan lagi keadaan. Hasil laporan daripada Utusan Malaysia pada 2021 menyatakan bahawa tanah runtuh bersaiz 40,000 dan 50,000 meter padu yang menyekat aliran sungai turut membantu menjadi punca berlakunya banjir luar biasa ini. Sementara itu, Berita Harian pula melaporkan terdapat lebih daripada 100 kejadian tanah runtuh yang telah direkodkan di Kuala Lumpur dan Selangor akibat hujan tanpa henti daripada 16 sehingga 19 Disember 2021. Apa yang membimbangkan penduduk Malaysia pada waktu ketika itu adalah, fenomena ini berlaku bukan pada Disember 2021 sahaja, malah berlarutan sehinggan Januari 2022.

Banjir dan Fenomena Geologi Berantai

Umum mengetahui bahawa apabila banjir kilat berlaku, ianya sering kali dikaitkan dengan pembangunan yang tidak lestari, terutamanya di kawasan bandar besar. Hasil mengeksploitasi hutan tanpa kawalan untuk tujuan pembangunan ini juga merupakan antara penyumbang utama berlakunya krisis banjir ini. Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi laporan Berita Harian, berpandangan kawasan rentan di Pahang khususnya berdepan dengan risiko banjir teruk setiap tahun, sekiranya aktiviti penebangan hutan di biar berterusan tanpa sistem tadahan air. Tentunya, kehilangan sistem tadahan air berupaya menjadi penyebab berlaku takungan air seterusnya banjir kilat. Hal ini semua boleh ditelusuri kembali kepada kerakusan manusia dengan agenda tersendiri, yang akhirnya membawa bala bencana ini ke atas diri mereka sendiri dan orang lain.

Hasil eksploitasi sumber hutan tanpa kawalan melalui aktiviti pembalakan acap kali dikaitkan dengan punca struktur tanah terganggu sehingga menyebabkan berlakunya hakisan dan tanah runtuh. Kurang kesedaran terhadap alam sekitar, seiring dengan sikap tidak bertanggungjawab dan kegagalan mengurus eksploitasi sumber hutan merupakan sebahagian punca fenomena berantai ini. Sering kali diuar-uarkan bahawa peristiwa tanah runtuh adalah berpunca daripada perkara ini, namun begitu, adakah benar hal ini hanya disebabkan oleh eksploitasi sumber hutan semata-mata? Sinar Harian telah melaporkan bahawa tambahan pembinaan struktur yang melanggar undang-undang dan tidak mengikut garis panduan oleh sesetengah syarikat pembangunan adalah satu lagi punca utama berlakunya hakisan dan tanah runtuh.

Hasil laporan tersebut membuktikan bahawa fenomena semula jadi seperti hujan lebat berpanjangan bukanlah punca utama berlakunya tanah runtuh, sebaliknya, kemusnahan alam sekitar datangnya daripada sikap manusia sendiri. Tanah runtuh dan banjir besar bukan sekadar fenomena geologi berantai, tetapi adalah lebih sesuai dikatakan sebagai tindak balas alam semula jadi akibat perbuatan tangan-tangan manusia sendiri.

Contact us directly